Shahmoonzhir Mohd Nazim, 32, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, 1 Oktober lalu

MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggunakan kipas, Ahad lalu.

Tertuduh, Shahmoonzhir Mohd Nazim, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada Nor Asikin Mohd Tap, 30, di sebuah rumah beralamat di Batu 6, Solok Balik Bukit, Bukit Lintang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 12 tengah malam 1 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian dengan cara membaling kipas terhadap isterinya kerana marah apabila lambat menyediakan susu untuk anak sulungnya berusia tujuh bulan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan dilarang mengganggu isterinya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana masih menanggung anak yang masih kecil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Nabilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 8 November ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette