KUALA LUMPUR – Pelawak popular, Lan Pet Pet kembali mencuri perhatian apabila video dia memukul seorang lelaki dipercayai penghantar makanan tular di media sosial sejak malam tadi.

Menerusi video yang dirakam pengguna jalan raya ini, pelawak dan pelakon kumpulan Senario itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.

Pada masa sama, tiga orang lelaki cuba menenangkan Lan daripada terus memukul lelaki itu dalam kejadian yang berlaku di tepi jalan raya itu.

Namun dalam emosi marah, Lan terus menjerkah lelaki itu dengan kata-kata berbaur amaran: “Hang duduk Tropicana nak tunjuk samseng kat aku. Hang tau dak aku sapa?”

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila dan di mana lokasi kejadian itu.

Pada 6 April 2019, Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 51, pernah menimbulkan kontroversi apabila memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya, 71.

Dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette