Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin negara Islam di seluruh dunia diseru supaya mengutuk keras tindakan Israel yang sekali lagi telah melancarkan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis malam tadi.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tidak boleh ada kompromi terhadap penghinaan yang telah dilakukan oleh regim zionis itu kerana tidak menghormati Al-Aqsa.

Katanya, masyarakat dunia mesti menangani serangan jenayah zionis Israel yang berterusan ke atas masjid dengan penguatkuasaan penuh undang-undang antarabangsa bagi menyekat Israel daripada melakukan pencerobohan.

“Seperti yang dijangka, rejim zionis tidak akan berhenti mengerahkan pasukan penjajahnya di masjid Al Aqsa pada bulan Ramadhan.

“Malam tadi, sekali lagi serbuan kejam yang berulang oleh tentera biadab menyasarkan Musalla Qibli.

“Ketegangan di Masjid al-Aqsa baru-baru ini, semakin memuncak dari hari ke hari. Para jemaah sekali lagi menjadi sasaran tentera Israel yang menyerbu masuk ke dalam masjid.

“Rejim itu nampaknya bertekad untuk menyekat akses dan mengusir jemaah yang menuntut hak mereka untuk tinggal di masjid untuk melakukan iktikaf.

“Keadaan tegang semakin memuncak kerana terdapat rancangan untuk pencerobohan peneroka Israel dan pergolakan untuk upacara korban haiwan mulai esok,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, tentera Israel telah menyerang para jemaah dengan kejam sesuka hati dan setakat ini kira-kira 240 rakyat Palestin cedera dalam serangan itu dengan dua daripadanya parah.

“Kami menyeru negara-negara Islam untuk melancarkan boikot penuh dan berpisah sepenuhnya dengan Israel. Kami juga menggesa pemimpin Islam untuk menamatkan sebarang bentuk normalisasi dengan Israel.

“Tahap tertinggi tekanan antarabangsa mesti dikenakan ke atas Israel,” ujarnya. – MalaysiaGazette