Zuraida Kamaruddin
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. foto NOOREEZA HASHIM, 08 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap bekas naib presidennya Zuraida Kamaruddin, bagi menuntut RM10 juta kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti, di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan William Leong & Co pada 28 Sept lepas. Berdasarkan carian di sistem e-filing mahkamah, pengurusan kes saman itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abd Hamid, pada 27 Okt ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, PKR mendakwa Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang telah mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

Menurut plaintif, antara terma dan syarat bon itu adalah defendan mengakui bahawa parti telah menanggung perbelanjaan yang besar untuk mempromosikan nama PKR, dan defendan juga mengakui bahawa dengan melantik defendan sebagai calon dan memberikan kebenaran kepada defendan untuk mengguna pakai logo, lambang, simbol, serta bendera parti, parti telah meningkatkan lagi nilai defendan dalam jumlah yang melebihi RM10 juta.

PKR mendakwa, Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari, sekiranya berlaku beberapa perkara, termasuk, setelah memenangi pilihan raya atas tiket PKR, beliau meletak jawatan dari parti atau bergabung dengan parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa, pada atau sekitar 24 Feb lepas, defendan dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain, telah mengumumkan peletakan jawatan dari parti itu tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen bahagian Ampang, seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti pembangkang BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yang lain.

Menurut plaintif, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) kemudian tumbang dan diambil alih oleh PN, yang menyaksikan defendan dilantik sebagai Menteri dalam Kerajaan Persekutuan PN.

Pada tarikh sama (24 Feb) plaintif berkata, Majlis Pimpinan Pusat parti telah meluluskan resolusi untuk melucutkan keahlian defendan dalam PKR dengan serta merta, dan plaintif kemudian mengeluarkan sijil bertarikh 24 Julai lepas untuk mengesahkan bahawa keahlian defendan dalam parti telah ditamatkan.

PKR seterusnya pada 7 Ogos lepas, mengeluarkan surat tuntutan menerusi peguamnya bagi menuntut defendan untuk membayar RM10 juta menurut terma-terma bon tersebut, selain menerbitkan notis tuntutan di akhbar dan portal parti, Suara Keadilan pada 29 Julai lepas, namun defendan didakwa gagal dan/atau enggan untuk membayar sama sekali jumlah tersebut atau sebahagian daripadanya.

Plaintif mendakwa, pihaknya berhak untuk membuat tuntutan RM10 juta daripada defendan untuk parti, dan tindakan defendan meletak jawatan sebagai anggota parti tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen, yang telah dimenangi oleh defendan menggunakan logo, lambang, bendera parti serta perkhidmatan dan sokongan ahli parti, telah menyebabkan parti kehilangan manfaat dan kelebihan mempunyai seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, serta menjadi sebahagian kerajaan eksekutif.

Menurut plaintif, defendan telah atau semestinya menikmati faedah setelah dipilih sebagai calon parti  dan Menteri setelah memenangi kerusi Parlimen Ampang berjumlah RM2,049,459.20 mengikut peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950.

Plaintif berkata  pihaknya bergantung kepada peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 yang memberikan hak kepada plaintif untuk mendapatkan semula pampasan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh defendan setelah dipilih sebagai calon PKR pada PRU14, sebagai Ahli Parlimen Ampang itu.

Plaintif menuntut defendan membayar kepada parti RM10 juta di bawah bon atau secara alternatifnya RM12,049,459.20 di bawah Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun ke atas jumlah yang akan diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar kepada plaintif,  kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

— BERNAMA