Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pelantikan dua Menteri Kabinet daripada pimpinan Gagasan Sejahtera menunjukkan kerajaan komited untuk melakukan transformasi dalam memenuhi aspirasi rakyat.

Ini kerana, kedua-dua Menteri yang dilantik iaitu pimpinan daripada Pas merupakan individu yang bersih serta tidak terbabit dengan rasuah atau jenayah, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

“DPIM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Kabinet baharu, terutama pimpinan Pas yang mengetuai Gagasan Sejahtera, khususnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar dan Datuk Takiyuddin Hassan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Kami menyokong pelantikan menteri-menteri kanan yang diharapkan dapat terus menjulang isu-isu rakyat disamping menyantuni dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional untuk membela nasib rakyat jelata.

“Sekarang adalah masa untuk kerajaan baru menumpukan masa, tenaga dan keringat untuk membela rakyat, bukannya terus bermain politik seperti kerajaan Pakatan Harapan terdahulu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, penubuhan Kementerian Perpaduan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional untuk menstabilkan situasi perpaduan antara kaum dan persengketaan politik tanah air turut disokong dan ia merupakan suatu pendekatan yang baik.

Tambah beliau, DPIM akan terus fokus kepada agenda rakyat dan agenda Muafakat Nasional demi kepentingan anak muda.

Tiada kerusi di Parlimen tidak bermakna Ikatan tiada suara untuk melaungkan jerit pedih suara rakyat Malaysia, terutama golongan muda, ujarnya.

“Jangan kita ulangi kesilapan Pakatan Harapan yang terleka dengan kuasa hingga meranapkan harapan rakyat Malaysia.

“Jangan juga kita ulangi kesilapan kerajaan Barisan Nasional yang dihantui isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Perikatan Nasional harus utamakan rakyat dan negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette