exco
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bergambar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada sidang media selepas Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2023.

KUALA PILAH – Pelantikan 10 Exco kerajaan Negeri Sembilan yang baharu dijangka dapat dimuktamadkan minggu ini setelah rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selesai.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berharap, rundingan yang mungkin bermula esok itu turut membincangkan tentang pembahagian portfolio antara wakil rakyat kedua-dua parti.

Menurut beliau, hasil rundingan seterusnya akan dibentangkan untuk persetujuan pucuk pimpinan PH dan BN di peringkat pusat.

“Kita serahkan kepada parti masing-masing untuk lantik muka baharu atau muka lama.

“Pastinya saya memerlukan gandingan baharu dan lama bagi memastikan ada kesinambungan tugasan-tugasan,” katanya pada sidang media di Seri Menanti di sini hari ini.

Berhubung desas-desus jawatan Timbalan Menteri Besar akan diwujudkan, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan memberitahu perkara itu belum dibincangkan.

“Saya tak nak komen apa-apa. Kalau tak ada apa-apa, kita tak bincang perkara tersebut,” jelasnya.

Beliau menambah, setakat ini, Datuk Zulkefly Mohamad Omar masih menyandang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

“Speaker sedia ada akan terus berkhidmat sehingga majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

Mengenai lima kawasan DUN yang dimenangi Perikatan Nasional (PN), Aminuddin berkata, mereka perlu memikirkan sendiri bagaimana hendak membantu rakyat.

“Kalau ada apa-apa esok, boleh bincang dengan kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette