Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Laporan akhir siasatan nahas pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens bersama rombongan beberapa anggota Kabinet negeri yang terhempas di perairan Sembulan pada 1976, telah dinyahklasifikasi dan akan didedahkan kepada umum minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan berhubung tragedi yang turut digelar ‘Double Six’ kerana berlaku pada 6 Jun 1976 telah dinyahklasifikasi mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

“Laporan penuh berhubung nahas Sabah Air akan dihebahkan kepada umum pada minggu depan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira tuntutan oleh keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.

Anwar berkata pendedahan kepada umum berhubung laporan tersebut juga adalah selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Isu itu telah menimbulkan banyak persoalan dan keresahan kerana selepas 47 tahun tuntutan daripada rakyat Sabah untuk mengetahui apa hasil daripada pasukan penyiasat berhubung kemalangan tersebut.

“Selama ini, kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan kepada umum,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan yang dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Pada 8 Mac lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk dinyah-klasifikasi berhubung insiden tersebut. – BERNAMA