Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (dua kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Seregar Abdullah (kiri) ketika hadir pada Sesi Bersama Media: Laporan Ketua Audit Negara di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Sekurang-kurangnya 119 pegawai kerajaan daripada pelbagai kementerian bakal berdepan prosiding tatatertib melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian melaksanakan tugas.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan telah menubuhkan sebanyak 14 jawatankuasa siasatan untuk menyiasat 60 teguran punitif susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016.Siri 1.

“Berdasarkan siasatan tersebut didapati sehingga 2 Ogos 2017, terdapat 31 atau 52 peratus teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib yang melibatkan 119 pegawai.

“Sebanyak 24 atau 40 peratus teguran didapati tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi sebaliknya memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa.

“Ini telah disahkan dalam penelitian susulan bersama Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Lima atau lapan peratus teguran lagi sedang disiasat lanjut bagi mengenal pasti pegawai bertanggung jawab,” katanya semasa berucap di sesi bersama media susukan LKAN 2016 Siri 1.

Pada peringkat kerajaan negeri pula, terdapat sebanyak 43 teguran punitif yang melibatkan 12 kerajaan negeri.

Menurut Ali, lima atau sebanyak 12 peratus teguran telah disiasat dan 17 pegawai mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib manakala lapan teguran pula tidak mempunyai unsur-unsur penyelewengan dan sebagainya.

Masih terdapat 70 peratus atau 30 teguran lagi masih disiasat.

Katanya, semua kes bagi tahun 2012 sehingga 2015 yang melibatkan 528 pegawai telah diselesaikan di mana 167 pegawai diambil tindakan tatatertib dan surcaj meliputi hukuman amaran sehingga dibuang kerja.

Terdapat satu kes masih dalam siasatan SPRM.

Sesi yang disertai oleh  Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah itu turut dihadiri ketua-ketua setiausaha setiap kementerian dan kerajaan negeri.- MalaysiaGazette