Sidang media oleh Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, laporan itu dibuat oleh Armada Bersatu tengah malam tadi manakala laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyusul dalam masa terdekat.
Jelas beliau, laporan polis itu membuktikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberitahu tiada laporan  dibuat sebelum ini.
“Menteri telah mengelirukan dewan kerana mengatakan tiada kes laporan sebab tu saya bangun dan sanggah kerana laporan polis telah dibuat Exco Armada pukul 12 pagi tadi di Balai Polis Dang Wangi.

Menjawab soalan tambahan Onn, Saifuddin memberi jaminan polis akan segera membuat siasatan sekiranya terdapat laporan ataupun dakwaan individu, tetapi ia boleh dianggap sebagai fitnah terhadap kerajaan sekiranya tidak wujud elemen habuan dan umpan sebagaimana didakwa.

“Pihak agensi penguat kuasa dalam kerajaan, kita sedia untuk bertindak secara profesional bagi menangani sebarang kemungkinan,” katanya.

Empat Ahli Parlimen dari Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar. – MalaysiaGazette