JKM Pahang sedang mengesan waris bayi lelaki yang berusia lima hari ketika diserahkan oleh seorang wanita Melayu yang dipercayai ibu kandung bayi tersebut di Batu 9, Sungai Karang di Kuantan pada 2 Julai lalu.

KUANTAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengesan waris seorang bayi perempuan berusia lima hari yang diserahkan kepada sepasang suami isteri pada 2 Julai lalu.

Menurut Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kuantan, Wan Norazlina Wan Aziz, bayi berkenaan diserahkan tanpa sebarang dokuman pengenalan diri oleh seorang wanita Melayu dipercayai ibu kandungnya pukul 12.30 tengah malam kejadian di Batu 9, Sungai Karang.

“Kita berharap ibu kandung bayi seperti dalam gambar segera kembali untuk membantu pihak JKM dan keluarga angkatnya untuk urusan dokumen bayi berkenaan.

“Sebelum itu, pasangan ini mendengar ketukan pintu rumahnya, lalu membuka dan mendengar seorang wanita berkata, tolong jaga bayi ini.

“Kemudiannya wanita tersebut terus melarikan lari di dalam semak di sebelah rumah pasangan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Menurut Wan Norazlina, meskipun suami pasangan tersebut cuba mengejar tetapi wanita tersebut menghilangkan diri dalam kegelapan malam.

Susulan daripada itu, pasangan tersebut membuat satu laporan polis sebelum memanjangkan kes ini ke pengetahuan pihak JKM.

Usaha mencari wanita tersebut telah dilakukan namun proses pencarian berdepan kesukaran memandangkan bayi berkenaan diserahkan tanpa sebarang dokuman pengenalan diri.

Justeru, katanya, perintah jagaan sementara kepada Perintah Orang yang Layak dan Sesuai dan siaran media dipohon dari mahkamah bagi Kanak-kanak Kuantan (MBKK) bagi tujuan penempatan dan pencarian waris kanak-kanak berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris bayi ini, diminta untuk hadir di PKMD Kuantan atau menghubungi Pegawai di talian 09-5724225 atau 013-9313295.- MalaysiaGazette