M. Saravanan

KUALA LUMPUR – MIC optimis dan positif dengan komitmen dan hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan China susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, lawatan ini begitu signifikan. lagi-lagi China menjadi negara pertama di Asia Timur yang dilawati oleh Anwar sejak mentadbir Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, pertemuan empat mata Anwar dengan Presiden China, Xi Jinping pastinya akan menjanjikan pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan China.

“Ini memang sejarah. PM juga hari ini umum Malaysia meraih komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion daripada pelabur China, pelaburan besar, bersejarah. Ini lebih daripada meyakinkan bahawa China yakin dengan ekonomi negara ini.

“Lawatan ini sekali gus membolehkan kerajaan melaksanakan dasar mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan menarik lebih banyak pelaburan dan dagangan asing ke Malaysia.

“China penting bukan sahaja sebagai jiran yang mempunyai huhungan dua hala yang erat dan rakan dagang rapat, tetapi juga kedudukannya sebagai kuasa besar ekonomi dunia pada masa ini”, katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke China untuk lawatan rasmi empat hari.

China adalah  rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009 dengan nilai perdagangan tahun lalu mencecah 17.1 peratus dari jumlah perdagangan global yang bernilai RM2.8 trilion.

“Kali ini kita difahamkan pelbagai perbincangan kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan hubungan dua hala, terutamanya dalam konteks sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan sambutan ulang tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

“Pastinya kedua-dua pemimpin telah bertukar-tukar pendapat mengenai hala tuju hubungan dua hala mengambil kira senario antarabangsa yang semakin mencabar dengan menitikberatkan ekonomi rakyat di kedua-dua negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette