KUALA LUMPUR – Jumlah eksport dan import Malaysia merekodkan pertumbuhan positif pada bulan Januari 2021, masing-masing kepada RM89.6 bilion dan RM73.0 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada Januari 2021 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih tinggi berbanding import dengan pertumbuhan 6.6 peratus daripada RM84.1 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Ini adalah nilai eksport tertinggi yang pernah dicatatkan untuk bulan Januari, didorong oleh eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM72.1 bilion yang menyumbang 80.5 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 6.3 peratus.

Di samping itu, eksport semula bernilai RM17.5 bilion meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun. Import pada Januari 2021 meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM73.0 bilion.

Lebihan dagangan meningkat 38.0 peratus kepada RM16.6 bilion berbanding Januari 2020. Jumlah perdagangan yang bernilai RM162.6 bilion meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM2.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.6 bilion), Viet Nam (+RM1.2 bilion), Kesatuan Eropah (+RM821.3 juta) dan
Singapura (+RM621.0 juta). Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari Taiwan (+RM1.0 bilion), China (+RM793.9 juta), Hong Kong (+RM686.1 juta) and Indonesia (+RM662.1 juta).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.2 bilion); keluaran getah (+RM4.1 bilion); barangan perkilangan logam (+RM614.4 juta) dan kimia dan bahan kimia (+RM448.9 juta).

Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi elektrik dan elektronik (+RM3.4 bilion) dan keluaran getah (+RM623.9 juta).

Import mengikut penggunaan akhir mencatat peningkatan bagi barangan perantaraan dan penggunaan.

Import bagi barangan perantaraan meningkat 1.4 peratus atau RM538.5 juta kepada RM39.4 bilion dan merangkumi 53.9 peratus daripada jumlah import.

Pada masa yang sama, barangan penggunaan (9.0% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 1.3 peratus daripada RM6.45 bilion pada Januari 2020 kepada RM6.5 bilion.

Sebaliknya, import bagi barangan modal yang bernilai RM7.2 bilion atau 9.9 peratus daripada jumlah import, menurun 5.4 peratus tahun ke tahun. – MalaysiaGazette