Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Mendiang bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan bekas pemimpin DAP, Dr. Tan Seng Giaw mampu membaca dan menulis tulisan jawi, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, kemampuan dan kebolehan kedua-dua bekas pemimpin dari kaum Cina ini menunjukkan tulisan jawi menjadi amalan rasmi mereka sama ada dalam urusan politik, ekonomi dan sosial.

Katanya, jika masih ada usaha dari pihak tertentu mahu menghapuskan amalan tulisan jawi, ia adalah agenda penjajah yang tidak pernah padam daripada memusuhi orang Melayu dan umat Islam.

“Bagi Pas, musuh tulisan jawi adalah musuh Islam,” katanya yang dipetik dari Minda Presiden yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya.

Menurut Abdul Hadi, segala usaha menghidupkan tulisan jawi adalah mulia dan murni yang menunjukkan ada jiwa agama serta bangsanya.

Ujar beliau, sangat nyata golongan yang menentangnya adalah anak-anak penjajah atau wakilnya yang masih berada di sini, walaupun penjajah Barat itu dikatakan sudah pulang ke negara asal mereka.

“Jangan jadi Melayu yang lupa bahawa dokumen Perjanjian Pangkor yang malang dan banyak surat rasmi kerajaan pada zaman penjajahan menggunakan tulisan jawi sehingga kedai pajak gadai kepunyaan Cina juga ditulis dengan tulisan Jawi.

“Tulisan jawi mendekatkan umat Islam dengan pendidikan agama Islam dan bahasa al-Quran sehingga penduduk pelbagai kaum di nusantara membaca al-Quran dengan fasih seperti orang Arab,” katanya. – MalaysiaGazette