Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki warga Bangladesh memandu kenderaan melawan arus dengan muatan rokok seludup bagi mengelak diperiksa pihak berkuasa pada sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 7 Jalan Sungai Buloh, di sini, semalam.

Bagaimanapun, anggota bertugas pada Operasi Khas Saman Warganegara Asing yang menyedari tindakan lelaki itu mengejar kereta Perodua Alza dipandunya dan menahan suspek di Tol Elmina Lebuhraya Guthrie.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, semasa operasi itu, pihaknya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan telah berpatah balik melawan arus bagi mengelak daripada diperiksa polis.

“Anggota bertugas yang menyedari tindakan suspek itu mula mengejar kereta Alza yang dipandu suspek itu sebelum berjaya mengepong dan mencekupnya jam lebih kurang 12.10 tengah hari di Tol Elmina Lebuhraya Guthrie.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan yang dipandu suspek itu polis berjaya menjumpai dan merampas sebanyak 1,126 kotak rokok disyaki diseludup yang dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati pemandu berusia 25 tahun itu dipercayai berperanan sebagai transporter atau pengantar barang seludup.

Ujarnya, siasatan polis mendapati suspek sedang dalam perjalanan untuk menghantar bekalan rokok haram itu ke sebuah kedai yang terletak di Kampung Baru Subang.

Katanya, suspek kini direman selama 14 hari untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette