Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Lembaga Dispilin UMNO digesa supaya mengambil tindakan terhadap Khairy Jamaluddin diatas tindakannya apabila mendakwa wujud perwakilan import pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tindakan menggantung keahlian Khairy jwajar dilakukan kerana beliau telahmengaibkan ahli UMNO yang rata-rata tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dibuat.

Menurutnya, beliau akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin UMNO berhubung perkara itu.

“Saya sendiri mengamati bahawa dakwaan KJ (Khairy Jamaluddin) di Dewan Perhimpunan Agung UMNO hari ini dipenuhi dengan perwakilan import adalah tak benar sama sekali.

“Kita ketua bahagian mengenali perwakilan yang ada. Jadi, saya minta Lembaga Disiplin UMNO ambil tindakan kepada KJ yang semberono mengeluarkan kenyataan berniat jahat ini,” katanya pada sidang media di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Jamal yakin bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu mempunyai niat tersembunyi bagi mahu memburuk-burukkan UMNO dan kenyataan yang dibuat olehnya merupakan satu perkara mendukacitakan.

Dalam perkembangan sama, Jamal mendakwa Khairy membayar beberapa perwakilan yang bersorak ‘boo’ ketika wakil Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Shamsuddin membawa usul tambahan agar dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan semalam.

Katanya, perkara itu diketahui selepas ada beberapa perwakilan yang ditemui mengaku mereka diberikan wang RM300 untuk berbuat demikian.

Ujar beliau, pada mulanya beliau hanya menyangka kesemua yang terlibat hanya mendapat bayaran RM50 sahaja sebaliknya ia lebih daripada itu.

“Saya tahu kalau tak upah tak ada bayaran ia tak berlaku, lagi kuat suara mereka ‘diboo’ lagi banyak dapat bayaran, itu yang dimaklumkan.

“…dan semalam lepas jam 6.30 saya jumpa yang boo, dia kata nak buat macam mana kami dibayar, jadi inilah yang berlaku. PAU kali ini agak, dilihat tak cantik kerana ada mereka-mereka seperti ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette