Lim Guan Eng
Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR –  Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia pernah meluluskan lawatan kerja oleh pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebelum ini.

Sebelum lawatan kerja pegawai kanan PDRM yang diketuai yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Turki pada tahun lalu, lembaga itu pernah meluluskan tiga lawatan kerja pegawai kanan PDRM ke luar negara antara 2012 hingga 2014.

Lembaga Totalisator Malaysia meluluskan lawatan kerja pada 12 hingga 17 Jun 2012 berjumlah RM69,763, 10 hingga 14 Jun 2013 berjumlah RM95,040 dan 1 hingga 6 Mei 2014 berjumlah RM128,400.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guian Eng, ini jelas membuktikan kesemua lawatan diluluskan semasa pentadbiran Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional dan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak tahu langsung tentang sumbangan dan tajaan lawatan kerja pegawai kanan PDRM yang diberikan oleh Lembaga Totalisator Malaysia kerana ia diputuskan oleh Lembaga Pengarah (LP) badan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Lembaga Totalisator Malaysia adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961 [Akta 494].

Oleh kerana sebarang keputusan oleh Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia tidak perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan maka tajaan membiayai lawatan kerja PDRM  ke Turki tidak pernah dimaklumkan atau diluluskan oleh saya sebagai Menteri Kewangan, katanya.

“Ini sebagai membalas dakwaan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa saya membenarkan sebuah syarikat judi membiayai lawatan kerja Pegawai Kanan PDRM ke Istanbul, Turki, yang menurut beliau menunjukkan saya langsung
tidak sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat.

“Tuduhan beliau ini adalah tidak benar dan tidak berasas,” jelasnya.

Menurut Guan Eng, Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia telah meluluskan permohonan lawatan kerja tersebut pada 23 November 2017 dengan jumlah RM184,648.

Katanya, kelulusan itu adalah sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan dan semasa Dr Asyraf masih lagi memegang jawatan Timbalan Menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kerajaan lama yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – MalaysiaGazette