Gambar hiasan

”BIDANG penulisan kreatif wajar diperkenalkan secara lebih menyeluruh di semua
peringkat dan lapisan masyarakat..”

Kata-kata di atas merupakan sebahagian daripada ucapan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi sewaktu perasmian program Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPEN) tidak berapa lama dahulu. Menteri Pengajian Tinggi turut menekankan nilai-nilai murni yang dapat diteladani orang ramai menerusi pembacaan karya-karya penulisan kreatif seperti cerpen, novel, puisi dan banyak lagi.

Menerusi penulisan kreatif, secara sedar atau tidak para penulis sebenarnya sedang berkongsi atau menunjukkan nilai-nilai murni kepada para pembaca. Walaupun di dalam penulisan kreatif ada emosi, watak dan perwatakan, konflik dan pelbagai lagi elemen berdasarkan jenis penulisan kreatif, matlamat akhir sesebuah penulisan kreatif adalah untuk mengajak para pembaca berfikir dan seterusnya menghayati nilai-nilai murni yang ditonjolkan.

Mengapa bidang penulisan kreatif penting kepada mahasiswa? Ini kerana perlunya kesinambungan kepada bidang penulisan kreatif. Jika di sekolah, para pelajar pasti akan terlibat dengan bidang penulisan kreatif menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu.Para pelajar diajar untuk menghasilkan penulisan kreatif, gaya bahasa, watak dan perwatakan, tatabahasa hingga kepada teknik menjana idea dalam penulisan kreatif.

Apabila para pelajar sekolah ini menamatkan alam persekolahan dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, rata-rata mereka sudah tidak terlibat mahupun mengasah teknik penulisan kreatif yang dimiliki. Jika institusi pendidikan ada
menawarkan kursus pengajian Bahasa Melayu, di mana bidang penulisan kreatif ini kadangkala dijadikan silibus, ini dilihat masih belum mencukupi untuk melibatkan seluruh mahasiswa di institusi pendidikan.

Membentuk kemahiran insaniah mahasiswa

Bidang penulisan kreatif penting sebagai salah satu wadah dalam membentuk kemahiran insaniah mahasiswa. Salah satu perkara yang dititikberatkan dalam bidang penulisan kreatif ialah penguasaan bahasa terutamanya Bahasa Melayu. Melalui
penguasaan Bahasa Melayu dalam bidang penulisan kreatif, mahasiswa dapat berlatih untuk menulis laporan, teks ucapan, teks pengacaraan majlis dan banyak lagi. Ini merupakan antara kesan baik penulisan kreatif sebagai kemahiran insaniah yang wajar
dikuasai mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Selain itu, hasil daripada penulisan kreatif ini, mahasiswa dapat mengasah dan mengembangkan kemahiran insaniah daripada kemahiran menulis kepada kemahiran pengucapan awam setelah mereka menguasai teknik-teknik penulisan dan tatabahasa.
Kemahiran pengucapan awam ini penting di alam kerjaya yang bakal diharungi para mahasiswa kerana ia sudah pasti diperlukan dan diaplikasikan dalam mesyuarat, pembentangan, taklimat, ceramah, sesi promosi, Hari Bertemu Pelanggan dan banyak lagi.

Memupuk semangat patriotisme mahasiswa

Selain menyampaikan nilai-nilai murni serta teladan, bidang penulisan kreatif penting dalam memupuk semangat patriotisme mahasiswa. Jika di sekolah dahulu para pelajar didedahkan dengan naskhah patriotik seperti Pahlawan Pasir Salak dan Bukit Kepong. Justeru, mahasiswa perlu memanfaatkan kemudahan perpustakaan, Online Databases,jurnal-jurnal akademik dan pelbagai lagi sumber ilmu di institusi pendidikan bagi membaca karya-karya ataupun penyelidikan akademik berkaitan penulisan kreatif serta sumbangannya terhadap semangat patriotisme. Seterusnya mahasiswa akan mengenali dan seterusnya membaca karya-karya tokoh-tokoh seperti Abdullah Munsyi, Syed Syeikh al-Hadi, Abdul Rahim Kajai dan ramai lagi.

Selain itu, institusi pendidikan turut memainkan peranan penting. Aktiviti penganjuran sayembara penulisan kreatif mahupun anugerah penulisan kreatif di peringkat institusi pendidikan wajar dimeriahkan kembali dengan penglibatan bukan sahaja dari pihak mahasiswa, bahkan mewujudkan kategori bagi staf akademik dan staf pentadbiran. Dengan ini, bukan hadiah kemenangan yang menjadi keutamaan, tetapi nilai dan jiwa bidang penulisan kreatif ini dapat meresap ke dalam warga institusi pendidikan.

Peranan institusi pendidikan

Dalam melestarikan bidang penulisan kreatif dalam kalangan mahasiswa, institusi pendidikan memainkan peranan yang cukup besar. Tanpa mengira sama ada institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan milik kerajaan negeri, institusi pendidikan
swasta mahupun institusi pendidikan milik persendirian. Selain menganjurkan aktiviti sayembara penulisan kreatif, institusi pendidikan boleh memperluaskan skop dalam memartabatkan bidang penulisan kreatif.

Melihat kepada kejayaan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa 2022 (PBAKL 2022) baru-baru ini, institusi pendidikan boleh menganjurkan pesta buku di peringkat institusi pendidikan masing-masing. Sinergi dan kerjasama strategik melibatkan pihak lain seperti Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia serta penerbit-penerbit buku akan menjadikan pesta buku yang dianjurkan kelak menjadi lebih meriah. Tambahan pula jika ia melibatkan kehadiran masyarakat awam, sudah pastilah ia merupakan salah satu
khidmat institusi pendidikan kepada masyarakat.

Selain itu, pihak institusi pendidikan boleh menganjurkan program berbentuk bual bicara bagi membincangkan bidang penulisan kreatif seperti bedah buku, bual bicara tokoh-tokoh penulisan kreatif, bual bicara penulisan kreatif pada era sebelum
kemerdekaan serta banyak lagi. Alumni institusi pendidikan yang telah berjaya menghasilkan karya kreatif sehingga dibukukan juga boleh dijemput untuk membuat perkongsian. Ini sekaligus merancakkan lagi aktiviti bidang penulisan kreatif di institusi
pendidikan. Sudah pasti para mahasiswa akan terlibat.

Potensi kerjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan

Salah satu perkembangan menarik pada masa kini ialah potensi penulisan kreatif sebagai kerjaya terutama dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Seiring dengan keperluan semasa, bidang perniagaan dan keusahawanan memerlukan staf yang boleh melakukan ‘copywriting’ dan ‘story telling’ sebagai salah cara pemasaran. Selain itu, permintaan terhadap penulis-penulis yang boleh menghasilkan ‘tagline’ perniagaan atau ‘tagline’ produk perniagaan merupakan ruang dan peluang yang harus diteroka oleh para penggiat penulisan kreatif. Jika tidak menjadi staf tetap sekalipun, para penggiat penulisan kreatif boleh bergiat secara ‘freelance’, contohnya sebagai seorang ‘ghostwriter’.

Dalam melestarikan bidang penulisan kreatif dalam kalangan mahasiswa, selain mengambil langkah-langkah yang mapan, kerjasama semua pihak adalah dituntut agar bidang penulisan kreatif ini mempunyai kesinambungan dan tidak
terhenti di peringkat persekolahan.

Mohammad Sufian Abdul Manan
Penolong Pendaftar Kanan,
Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu,
Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA