Fahmi Fadzil. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil enggan melayani tuntutan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan agar beliau meletakkan jawatan berhubung insiden kumpulan muzik The 1975.

Fahmi sebaliknya menyifatkan desakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu yang berdepan dengan pertuduhan rasuah Jana Wibawa itu sebagai ‘kasihan’.

“Alaa…kasihannya Wan Saiful Wan Jan,” katanya kepada pemberita di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Semalam, Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Fahmi perlu mengambil tanggungjawab atas aksi liar, lucah dan tidak senonoh yang dipamerkan kepada anak-anak muda Malaysia semasa Good Vibes Festival.

Wan Saiful berkata, Fahmi perlu bertanggungjawab kerana terbukti beliau tidak kompeten menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Menteri yang berkaitan kes itu.

Semalam ini, KKD membatalkan Festival Good Vibes 2023 dengan serta-merta susulan perbincangan itu dibuat selepas berlaku insiden yang bersifat biadap oleh vokalis kumpulan muzik The 1975.

Kumpulan muzik antarabangsa itu antara lain tampil di pentas dengan memegang botol arak, mengeluarkan kata-kata kesat, merendahkan agama rasmi dan undang-undang Malaysia serta bercium dengan ahli kumpulannya. – MalaysiaGazette