KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan diminta turun padang dan bersemuka dengan perusahaan kecil dan sederhana untuk mengetahui masalah dan bebanan mereka terutama membabitkan levi yang perlu ditanggung majikan.

Presiden MCA menyifatkan pemikiran Lim Guan Eng pelik kerana kerap melakukan perubahan berhubung isu levi.

Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pada 12 September 2018, Menteri Tenaga Manusia M. Kula Segaran mengumumkan Kabinet bersetuju dengan lanjutan tempoh 3 tahun kepada pekerja asing yang telah bekerja lebih daripada 10 tahun dengan kadar levi RM10,000 setahun yang ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

Tiba-tiba pada 24 September 2018, Guan Eng pula mengumumkan majikan hanya menanggung 20 peratus levi dan baki 80 peratus ditanggung oleh pekerja asing.

Pengumuman Guan Eng itu telah dikritik hebat oleh para pengusaha PKS dan menganggap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak faham tentang isu pokok iaitu kadar levi terlalu tinggi.

Katanya, mana ada pekerja asing yang sanggup membayar levi RM666 sebulan dan akhirnya majikan yang terpaksa menanggung kos levi tersebut.

“Pendek kata, apa yang diminta ialah desakan menurunkan kadar levi yang lazimnya tak sampai RM1, 850 setahun pun. Tak faham faham ke Menteri Kewangan ini? Perkara mudah pun tak boleh faham?

Ka Siong mendakwa setelah dilaporkan di muka depan akhbar Cina, Guan Eng meradang serta membuat pengumuman cadangannya sebelum ini hanya perlu membayar 20 peratus levi dan levi RM10,000 itu ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

Pada sesi Parlimen lalu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, beliau telah mengemukakan satu usul agar kerajaan mengurangkan kadar levi dan akhirnya kerajaan hanya mengurangkan kadar levi sektor pertanian dari RM10,000 kepada RM3,500 setahun.

Sektor pembuatan, perkhidmatan & pembinaan yang amat memerlukan pekerja asing berpengalaman langsung tidak dilayan.

Tetapi, katanya, isu kekurangan pekerja asing kian menular dan beberapa Pilihan Raya Kecil yang sedang dan akan berlangsung, menyebabkan Kabinet terasa bahangnya.

Lantaran itu, dakwa Ka Siong, Menteri Kewangan itu bukan sahaja membuat pusingan U, tetapi pusingan J.

Dalam pengumuman hari ini, Guan Eng mengumumkan levi pekerja asing yang telah berkhidmat lebih dari 10 tahun akan dikurangkan daripada RM10,000 setahun kepada RM6,000 setahun mulai 1Mac ini untuk tempoh satu tahun sahaja.

Penurunan levi itu bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

Manakala sektor perladangan dan pertanian pula, levi dikurangkan daripada RM3,500 setahun kepada RM2,000, juga bagi setahun.

“Pelik juga Guan Eng ini! Dia pernah membuat cadangan, majikan hanya menanggung 20% dari RM10,000 iaitu hanya RM2,000 dan tidak mungkin pekerja asing berpengalaman rela membayar kos tersebut.

“Akhirnya semua levi ditanggung oleh majikan, kenapa tidak diseragamkan levi kepada RM2,000 seperti yang dikenakan ke atas sektor pertanian? Itu baru memenuhi citarasa pasaran!

“Satu perkara lagi, kenapa pengurangan kadar levi untuk tempoh SATU tahun saja? Kalau mereka diizinkan untuk lanjutan tempoh 3 tahun, tetapkanlah pengurangan levi untuk tempoh sama juga – 3 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette