Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan sikap biadap Lim Guan Eng yang mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan media rasmi kerajaan meskipun bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, Guan Eng mungkin lupa beliau adalah rakyat Malaysia atau buta Perlembagaan yang menyebut Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.

“Apakah beliau yang pernah menjadi Ketua Menteri pun beliau tidak tahu bahawa Akta Bahasa Kebangsaan jelas menyebut bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi?

“Beliau cuba pertahankan penggunaan Bahasa Mandarin kononnya untuk wartawan bukan Melayu atau pegawai kedutaan China.

“Kalau beliau benar-benar setia kepada negara ini, beliau tidak patut sama sekali bimbang akan perkara ini. Semua wartawan tempatan mesti faham Bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu yang mengeluarkan kenyataan media Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin pada Khamis yang mendapat cemuhan pelbagai pihak.

Sirajuddin berkata, kesulitan kenyataan rasmi dalam bahasa kebangsaan tidak timbul kepada pegawai-pegawai kedutaan kerana mereka mempunyai penterjemah dan juru bahasa sendiri.

“Itulah amalan diplomasi antarabangsa, ataupun beliau sengaja menguji sejauh mana kealpaan orang Melayu tentang bahasa. Kalau kali ini berjaya, bolehlah beliau ulangi lagi di masa hadapan,” katanya.

Katanya lagi, mutakhir ini penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan para pemimpin kian luntur dan oleh kerana itu semua menteri Kabinet dan pemimpin negara perlu menggunakan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.

“Apakah setelah 60 tahun merdeka, masih ada kaum bukan Melayu yang tidak faham Bahasa Melayu? Apakah kita semua lupa bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.

“Kita tidak sekali kali harus melupakan akan pentingnya perpaduan kerana tanpa perpaduan akan hancurlah negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette