KUALALUMPUR – Kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) bersih Malaysia mencatatkan liabiliti bersih lebih tinggi RM47.3 bilion (ST3 2019: liabiliti bersih RM13.0 bilion) pada suku keempat 2019.

Jumlah aset meningkat kepada RM1,775.8 bilion (ST3 2019: RM1,765.1 bilion), manakala jumlah liabiliti adalah RM1,823.1 bilion (ST3 2019: RM1,778.1 bilion).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) merekodkan nilai RM486.3 bilion (ST3 2019: RM510.5 bilion).

Aktiviti kewangan dan insurans/takaful (44.3%) merupakan penyumbang utama kedudukan DIA, diikuti sektor perlombongan & pengkuarian (13.3%) dan pertanian (8.8%).

Menurutnya, Singapura, Indonesia dan Kepulauan Cayman kekal sebagai destinasi utama DIA.

Sementara itu, kedudukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mencatatkan nilai lebih tinggi RM691.6 bilion berbanding RM678.3 bilion pada suku lepas.

Sektor pembuatan menyumbang 38.7 peratus kepada jumlah kedudukan FDI, diikuti aktiviti kewangan dan insurans/takaful (22.8%) dan sektor perlombongan & pengkuarian (6.6%).

Tiga pelabur utama FDI adalah dari Singapura, Hong Kong dan Jepun.

Kedudukan pelaburan portfolio merekodkan liabiliti bersih lebih rendah RM166.9 bilion (ST3 2019: liabiliti bersih RM175.9 bilion), manakala kedudukan pelaburan lain menunjukkan liabiliti bersih lebih rendah RM99.8 bilion (ST3 2019: liabiliti bersih RM100.8 bilion).

Pada akhir Disember 2019, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berada pada RM424.1 bilion (pada akhir September 2019: RM431.2 bilion). – MalaysiaGazette