Ashley Westwood

GEORGETOWN – Pulau Pinang menjanjikan tahap kecergasan, disiplin serta tempo permainan lebih menarik bagi saingan Liga Malaysia 2017 bermula Januari ini.

Pengurusnya, Zairil Khir Johari berkata, ketua jurulatih yang baharu dilantik, Ashley Westwood, sedang giat mempersiapkan pasukan dengan mewujudkan pusat latihan bersepadu yang belum pernah ada sebelum ini.

“Pusat latihan bersepadu di Stadium Bandaraya itu mempunyai program holistik merangkumi aspek pemakanan seperti diet dan menu pemain yang dititikberatkan.

“Selain pembaharuan itu, khidmat fisioterapi serta program latihan di dalam dan luar padang juga diberi nafas baru,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil jurulatih adalah menggabungkan aspek sains dan sukan.

“Kesedaran pemain mengenai sains sukan amat penting dan ia membantu mereka untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang maksima,” kata Zairil.

Persediaan Westwood untuk musim 2017 dilihat lebih menumpukan kepada pembangunan pemain muda yang diberi kepercayaan untuk bersama skuad Harimau Kumbang itu.

Mereka adalah Muhd Jafri Firdaus Chew, Syamer Kutty Abba, Redzuan Suhaidi, Abdul Qayyum, Faizat Ghazali, Kumaahran Sathasivam, dan Zulkhairi Zulkifli.

Ia memberi bayangan awal bahawa kesebelasan utama pasukan itu nanti bakal dibarisi pemain muda dan tidak tertumpu dengan kehadiran pemain berstatus bintang.

Zairil turut mengakui peruntukan untuk Pulau Pinang musim depan tidak sebesar beberapa pasukan lain yang dilihat berbelanja besar.

“Kami tidak memberi jaminan untuk menang setiap perlawanan, tetapi apa yang boleh saya pastikan ialah mutu permainan yang menarik dan pengurusan pasukan yang baik,” katanya. – Bernama