Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menganggarkan sejumlah RM7 hingga RM8 bilion kontrak perolehan akan dimeterai menerusi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, LIMA 2023 akan menjadi lokasi untuk pemain industri bertukar pandangan selain menjalinkan kerjasama antara negara melalui kerjasama industri pertahanan .

“Kita jangkakan lebih banyak lagi perjanjian-perjanjian persefahaman yang akan dimeterai antara negara dan syarikat.

“Empat tahun LIMA ini tidak diadakan jadi banyak negara di Rantau Asia Pasifik sedang teliti dan menilai untuk beli aset dan juga perolehan.

“LIMA 2023 merupakan tempat pemain industri pertahanan udara dan maritim untuk tukar pandangan serta jalin kerjasama teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan LIMA 2023 di Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Mohamad berkata, kerajaan juga telah menghantar sebanyak 600 jemputan terhadap negara luar dan daripada jumlah itu sebanyak 80 peratus telah mengesahkan penyertaan bagi LIMA 2023.

Penganjuran LIMA 2023 akan berlangsung di Langkawi bermula 23 hingga 27 Mei sememangnya dinanti-nantikan oleh pengunjung.

Kali terakhir penganjuran itu diadakan iaitu pada 2019 dan penularan Covid-19 memaksa acara itu terpaksa dibatalkan selepas itu. – MalaysiaGazette