Datuk Lokman Noor Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – NGO Sekretariat Suara Rakyat UMNO membatalkan penganjuran Himpunan Sejuta Rakyat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan secara rasmi Malaysia dikeluarkan daripada senarai penandatangan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pengerusinya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, kejayaan besar menentang Statut Rom itu adalah hasil usaha banyak pihak khususnya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedahkan penipuan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, Majlis Raja-Raja, Panglima Angkatan TENTERA, empat orang pakar undang-undang yang telah menasihati Majlis Raja-Raja, parti-parti politik dan NGO-NGO.

“Tidak ketinggalan insan yang telah dicemuh hebat oleh Kerajaan PH kerana mendedahkan penipuan mereka iaitu Tunku Ismail di atas kejayaan besar membantah Statut Rom ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, PBB dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Malaysia telah dinyahsenarai sebagai penandatangan ratifikasi Statut Rom ICC.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat berdasarkan notis awal daripada Kementerian Luar Negeri.

Pemberitahuan yang diterima daripada Menteri Luar Negeri seperti berikut:

“…Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menarik balik Instrument Of Instruction daripada Statut Rom ICC pada 5 April 2019.

“Oleh itu, Malaysia membatalkan semula surat penyertaannya dan penarikan ini akan berkuatkuasa serta merta.

Lokman juga menyifatkan kegagalan PH meratifikasi ICERD dan Statut Rom sebagai satu pengajaran kepada Kerajaan PH agar menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Semoga kegagalan PH meratifikasi ICERD dan Statut Rom memberikan pengajaran jelas kepada kerajaan yang didominasikan oleh DAP ini supaya menghormati Perlembagaan Negara dan Kontrak Sosial yang sudah kita persetujui puluhan tahun,” katanya.

Lokman turut memberi amaran dan tidk teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan itu sekiranya Kerajaan PH berdegil untuk meneruskannya.

“Sungguhpun kami mengambil keputusan membatalkan Himpunan Sejuta Rakyat Membantah Statut Rom yang sepatutnya berlangsung 15 Jun 2019.

“Namun kami tidak akan teragak-agak mengadakan perhimpunan semula sekiranya PH mahu meneruskan keghairahan mereka melanggar Perlembagaan dan Kontrak Sosial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette