Julen Lopetegui kini bersama Sepanyol
Julen Lopetegui dinamakan sebagai Pengurus baharu Real Madrid

SEPANYOL – Julen Lopetegui dinamakan sebagai pengurus baharu Real Madrid secara rasmi pada Selasa.

Lopetegui kini komited dengan tugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Sepanyol.

Lopetegui baru seminggu memulakan latihan persiapan bersama Sepanyol menjelang kempen bola sepak Piala Dunia Rusia 2018 yang akan membuka tirai secara rasminya esok.

Daily Mail Sports melaporkan Lopetegui menandatangani kontrak sehingga 22 Mei 2020 bersama skuad kebangsaan Sepanyol.

Namun Real Madrid segera ‘mengikat’ khidmat individu berusia 51 tahun itu.

Lopetegui dikatakan bersetuju menyertai kelab gergasi Sepanyol itu sejurus selepas piala dunia pada 15 Julai ini.

Lopetegui pernah beraksi sebagai pemain untuk Barcelona tetapi kini bakal mengemudi kelab musuh tradisi Los Blancos itu.

Real Madrid dalam laman web rasminya mengesahkan Lopetegui akan menjadi Jurulatih Real Madrid selepas Piala Dunia 2018.

“Real Madrid mengumumkan bahawa Lopetegui akan menjadi jurulatih pasukan pertama untuk tiga musim akan datang.

“Dia akan menyertai kelab ini selepas penyertaan Sepanyol dalam Piala Dunia di Rusia setelah dua tahun mengemudi pasukan kebangsaan itu,” katanya.

Pengumuman itu memberi kejutan kepada semua pihak di seluruh dunia kerana Lopetegui langsung tidak tersenarai dalam pencarian pengurus yang akan menggantikan Zinedine Zidane yang meninggalkan kelab itu dua minggu lalu.

Zidane mengumumkan pengunduran menerusi sidang media sehari empat hari selepas kelab itu menjulang Liga Juara-Juara Eropah musim ketiga berturut-turut dengan menewaskan Liverpool 3-1 di Kiev.

Bekas Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, Antonio Conte dan Guti antara calon disenarai pendek Real Madrid untuk mengisi kekosongan Zidane.

Lopetegui dikatakan mengikat kontrak selama tiga tahun di Bernabeu. – MalaysiaGazette