Alexis Sanchez

LONDON – Bintang Manchester United, Alexis Sanchez memohon maaf kepada peminat selepas melalui musim terburuk bersama Manchester United sejak tiba di Old Trafford pada Januari 2018.

Sanchez adalah pemain yang menerima bayaran paling mahal di Liga Inggeris dan ketibaan beliau di Old Trafford turut membabitkan pertukaran Henrikh Mkhitaryan ke Arsenal

Bagaimanapun, bintang Chile itu gagal menampilkan aksi yang diharapkan di Old Trafford.

Dia kerap diketepikan akibat kecederaan sehingga menjejaskan prestasinya dalam pasukan.

Setakat ini, Sanchez hanya berjaya menyumbang lima gol untuk United.

Red Devils mengakhiri musim ini dengan amat mengecewakan apabila turut tewas 0-2 dalam aksi terakhir kepada Cardiff City di Old Trafford pada malam tadi.

Menerusi Instagram miliknya, Sanchez menyatakan rasa tanggungjawab diatas kegagalan pasukan itu pada musim ini sebaik sahaja perlawanan menentang Cardiff selesai.

“Musim yang sangat sukar. Peminat berhak mendapatkan permohonan maaf kerana mereka selalu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi walaupun dengan apa yang telah terjadi,” tulisnya.

Pemain itu turut tampil mengakui kelemahan diri dan mengakui dia gagal menampilkan prestasi yang diharapkan ramai di Manchester United selama ini.

“Secara peribadi, saya tidak tampil [untuk Manchester United] seperti apa yang diharapkan, kerana kecederaan yang tidak dapat dijangkakan. Media dan orang ramai banyak membuat beberapa spekulasi yang tidak benar.”

“Saya sentiasa bersikap profesional dalam semua aspek. Saya memohon maaf kepada peminat kerana kami tidak dapat mencapai matlamat kami. Bagaimanapun, kami adalah Manchester United!”

Dalam pada itu, Sanchez menyakinkan para peminat dengan mengatakan semua pihak di United sedang berusaha melakukan perubahan untuk mengembalikan semula reputasi kelab itu. – MalaysiaGazette