Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Zawawi Ahmad Mughni (dua kiri) beramah mesra dengan peserta selepas melancarkan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bekerjasama dengan sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran untuk melupuskan naskhah-naskhah al-Quran yang rosak dalam banjir besar pada minggu lalu.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, bagi tujuan itu, semua masjid di negeri ini telah diarahkan untuk menyediakan ruangan khusus bagi tujuan pengumpulan bahan agama itu yang terjejas akibat banjir.

“Kita bekerjasama dengan sebuah syarikat yang memang ada kepakaran dalam pelupusan al-Quran dan kita akan lupuskan berperingkat-peringkat daripada masjid-masjid yang telah dikenal pasti terlibat dengan banjir.

“Ini termasuklah maahad-maahad tahfiz yang mana banyak al-Quran mereka menjadi rosak setelah terendam di dalam air.

“Itu juga kita akan berikan tumpuan kerana kita dapati banyak tahfiz yang terjejas dengan banjir baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada minggu lalu, negara dikejutkan dengan bencana banjir yang boleh disifatkan terburuk dalam sejarah apabila banyak kawasan di Lembah Klang lumpuh ditelenggami air susulan fenomena musim Monsun Timur Laut. – MalaysiaGazette