Penyanyi lagenda, Datuk M Daud Kilau melakukan persembahan pada Anugerah Meletop Era 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau akan menerima Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula bulan ini bagi meringankan beban penyanyi veteran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Wan Norashikin Wan Noordin berkata, kerajaan negeri melalui JKM berjaya mempercepatkan kelulusan bantuan bulanan tersebut yang akan diterima mulai 25 Oktober ini.

“Diharapkan bantuan bulanan ini dapat meringankan beban beliau (M Daud Kilau) untuk menampung kos kehidupan harian,” katanya ketika ditemui Bernama di kediaman M. Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baruh hari ini.

Turut hadir Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.

M. Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhamamad Daud Kilau yang terkenal dengan lagu Sirih Pinang dan Cek Mek Molek ketika ditemui bersyukur kerana menerima bantuan bulanan tersebut dan mengakui ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban terutama daripada sudut kewangan.

“Jadi, memang banyak duit nak guna. Alhamdulillah, memang ramai yang tampil membantu termasuk dari Persatuan Artis Malaysia,” katanya.

M. Daud Kilau yang cukup sinonim dengan busana labuci dan warna warni kini hanya menghabiskan masa di rumah berikutan tahap kesihatannya yang semakin merosot kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan keadaan jantung tidak stabil sejak tahun 2016.

“Saya dah menyanyi hampir 50 tahun, kalau hayat masih dikandung badan untuk saya menyanyi, saya akan terus menyanyi. Kalau tak boleh, tak mengapa,” katanya yang tinggal bersama isteri Rohani Awang Ngah, 62, dan seorang anak lelaki. – BERNAMA