Home Utama Mah Siew Keong akui sukar kekal kerusi di Parlimen Teluk Intan

Mah Siew Keong akui sukar kekal kerusi di Parlimen Teluk Intan

Mah Siew Keong bercakap ketika sesi sidang media pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mah Siew Keong akui sukar mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Presiden Gerakan itu berkata, rekod kekalahannya pada pilihan raya yang lalu dan kemenangan tipis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2014 membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak boleh berasa selesa dan konsisten.

“Teluk Intan adalah cabaran yang besar sebab menang pada pilihan raya kecil lalu hanya dengan lebihan 238 undi.

“Kita juga mesti akui semasa PRU13, Teluk Intan kita kalah dengan 7,313 undi,  satu angka besar.

“Bukan senang di Teluk Intan, pengundinya pelbagai kaum,  Cina 40%, Melayu 40% dan India 20%. Ini merupakan kerusi campuran,” katanya ketika sidang media selepas majlis Tumah terbuka parti itu hari ini.

Walau bagaimanapun, Mah yakin perkhidmatan, kebajikan dan kemudahan yang diberikan kepada rakyat selama tiga tahun di kawasan tersebut akan menjadi nilai tambah kepada pemilihan pengundi kelak.

“Sebab 4 tahun sudah kita buat banyak aktiviti dan fasiliti,” tambah beliau yang meramalkan peluang 50-50 di Teluk Intan.

Pada 31 Mei 2014, Mah memenangi PRK Teluk Intan mengalahkan pencabarnya Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi berbanding calon DAP. – MalaysiaGazette