Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto HAZROL ZAINAL

BANDAR SERI BEGAWAN – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut persetujuan yang dicapai dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, beliau akur dengan persetujuan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri sementara untuk tempoh yang disebut adalah dua tahun.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pada sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei Darussalam, di sebuah hotel di sini malam ini.

Mengenai kebimbangan sekiranya sejarah akan berulang apabila beliau (Dr Mahathir) tersilap memilih penggantinya untuk menerajui negara, Dr Mahathir berkata sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan penggantinya, maka rakyat boleh membuat pendirian pada pilihan raya umum.

Menurut, sebelum ini banyak usaha dilakukan seperti demonstrasi, failkan usul tidak percaya, laporan polis serta deklarasi rakyat menolak kepimpinan kerajaan namun semuanya itu tidak berjaya sehingga ketetapan dibuat rakyat dalam pilihan raya umum.

Beliau seterusnya menafikan tohmahan yang sering dilemparkan terhadapnya, kononnya beliau adalah ‘Ultra Melayu’ kerana menurutnya gelaran itu, sama seperti label Mahafiraun, Mahazalim dan sebagainya semata-mata diberikan oleh musuh politik.

Katanya, beliau mengutamakan negara supaya tidak wujud jurang perbezaan begitu ketara antara penduduk pelbagai kaum sehingga boleh mengundang permusuhan dan rusuhan.

Justeru, katanya, PH sedang berusaha membela nasib dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum.

Bagaimanapun, katanya, isu perkauman akan tetap wujud dalam sesebuah negara berbilang kaum dan bangsa namun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan baharu tidak akan menjurus kepada ketegangan atau permusuhan dalam negara.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan tetap dilaksanakan namun ia akan mengambil sedikit masa untuk menyiapkannya memandangkan komitmen kewangan lain yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Selain projek pembangunan, Perdana Menteri berkata jentera kerajaan juga ketika ini perlu diperbaiki kerana banyak kerosakan dalam pentadbiran negara berlaku sebelum ini.

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya bersabar untuk melihat hasil pembaharuan yang sedang diusahakan oleh kerajaan baharu PH.

Menjawab soalan hadirin mengenai harapannya sebelum berundur, Dr Mahathir berkata beliau mahu mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia yang pernah digelar Harimau Asia dan menjadi kebanggaan rakyat.

“Saya mahu sebuah kerajaan yang demokratik dan bukan kleptokratik,” katanya.

Katanya, beliau ingin melihat wujudnya ‘rule of law’ (kedaulatan undang-undang) bagi melindungi rakyat serta menjadi sebuah negara maju sebagaimana yang menjadi sasaran dalam Wawasan 2020 sebelum ini – Bernama