Maher Zain
Penyanyi terkenal, Maher Zain meluangkan masa berswafoto bersama sebahagian kanak-kanak dari Tunas Seni Cemerlang selepas selesai sesi Perbualan bersama Maher Zain anjuran CIMB Islamic Bank sempena Maher Zain Tour Malaysia 2019 di Hilton Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Penyanyi Sweden berketurunan Lubnan Maher Zain kini aktif dalam misi kemanusiaan di Syria dan di seluruh dunia. 

Pendekatan Maher Zain adalah dengan menggunakan media sosial sebagai cara terbaik menyebarkan kesedaran terhadap apa juga bentuk kemanusiaan. 

“Saya tidak menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita apatah lagi berunsurkan negativiti termasuk misi kemanusiaan, tetapi saya memilih untuk menggunakannya sebagai cara untuk menyebarkan perkara yang positif,” katanya  ketika sidang media Jelajah Maher Zain 2019 di sini. 

Sebagai anak muda yang sangat mudah mengakses media sosial, Maher Zain menyarankan golongan itu memanfaatkan kelebihan teknologi untuk kebaikan dengan menyebarkan pengaruh baik seperti yang dilakukannya itu. 

“Saya rasa generasi muda masa kini lebih berpeluang terhadap media sosial dengan akses yang sangat mudah, untuk belajar dan faham tentang aktiviti kemanusiaan. Jadi perlu guna sosial media untuk kebaikan,” tambahnya. 

Bercerita tentang kehidupannya sebagai artis yang selesa menjalani rutin sebagai orang biasa, Maher, 37,  berkata beliau tidak meletakkan sesuatu objek atau sosok sebagai idola. 

Sebaliknya ujarnya, inspirasi kepada kariernya adalah semua perkara yang dijalaninya setiap hari termasuklah apa yang berlaku setiap hari yang dilihatnya dari sudut positif.

“Inspirasi, semua perkara adalah inspirasi saya. Takdir hidup, melihat orang, berkomunikasi dengan orang sebab itu dalam lagu saya ada semua perkara dengan mesej yang tertentu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette