KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar diberi amaran supaya menghentikan politik murahannya mengutuk kerajaan Barisan Nasional dengan menggunakan isu Israel.

Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR) mengutuk tindakan Mahfuz yang mendakwa tiba-tiba kerajaan UMNO BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut delegasi Zionis Israel sebagai tetamu serta dikatakan turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia ketika Malaysia mengutuk tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Palastin sebagai Ibu Kota Israel November lalu.

 

Presiden PAR, Datuk A. Chandrakumanan berkata, kehadiran diplomat itu tidak diundang Malaysia, sebaliknya jemputan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9.

“Malaysia hanya merupakan tuan rumah forum berkenaan walaupun kita tidak mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara, tetapi perlu menerima hakikat bahawa ia merupakan anggota PBB.

“Pegawai kerajaan atau pegawai tertinggi seperti diplomat Israel itu tidak perlu memohon Pasport atau visa seperti orang biasa kerana memiliki pasport diplomatik.

“Malah, kita kena lihat juga peruntukan Konvensyen Kekebalan dan Keistimewaan Pegawai-Pegawai PBB dan Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) Tahun 1992 yang mana sesebuah kerajaan tak boleh menghalang kemasukan mana-mana pegawai UN PBB ke dalam negara termasuk Malaysia yang juga anggota PBB,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kehadiran diplomat Israel tidak bermakna Malaysia bekerjasama dengan Israel dan negara ini masih kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan terus memperjuangkan hak Palastin selain mengecam pengiktirafan Palastin sebagai ibu kota Israel oleh AS.

“Itu sangat jelas, Malaysia msih tidak berganjak daripada prinsipnya.

“Namun Mahfuz janganlah cuba membuat andaian dan mewujudkan persepsi bahawa kononnya Malaysia mengiktiraf Israel dengan kemasukan diplomat mereka dan terus memburukkan pentadbiran Malaysia.

Katanya, pembangkang jelas kehilangan ideologi politik dan kini menggunakan isu Israel  pula untuk menghentam BN. – MalaysiaGazette