Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyambut baik keputusan Jawatankuasa Disiplin Pas untuk tidak memecatnya dari parti itu dengan alasan kepimpinan mahu menumpukan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Sambil menyifatkan keputusan yang diumumkan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sabtu lalu sebagai pendirian matang, Mahfuz berkata, ini bermakna Pas tidak ada masalah untuk ahli lain yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Saya mahu ucapkan terima kasih pada Pas khususnya Tuan Ibrahim atas kenyataan itu. Ini adalah pendirian yang cukup matang.

“Kenyataan Tuan Ibrahim untuk tidak mempedulikan apa-apa yang saya lakukan bersama dengan PH dan kenyataan saya terhadap Pas adalah disambut baik,” katanya dalam respon balas kepada media hari ini.

Sabtu lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, Jawatankuasa Disiplin Pas memutuskan tidak memecat Mahfuz memandangkan pilihan raya boleh dipanggil pada bila-bila masa.

Timbalan Presiden itu berkata, Pas mahu menumpukan kepada memenangkan pilihan raya umum daripada ‘membuang masa’ dengan Mahfuz.

“Kita fikir tidak ada keperluan kerana lebih baik fokus kepada pilihan raya. Tak payah buang masa dengan dia,” kata Tuan Ibrahim.

Menurut Mahfuz, beliau gembira kerana pemimpin tertinggi parti itu tidak mempunyai masalah jika ada ahli Pas mengundi calon PH untuk mengambil alih kuasa politik negara dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta dalam masa sama terus kekal menjadi ahli Pas.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli Pas untuk menyokong dan mengundi PH secara terbuka atau secara senyap.

Katanya, keperluan menyokong dan mengundi PH adalah penting bagi membolehkan peralihan kuasa politik berlaku pada PRU 14 nanti kerana Pas hanya menyasarkan kemenangan 40 kerusi.

“Ini tidak membawa kepada peralihan kuasa politik negara dan sudah tentu tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dengan beban kos sara hidup akibat GST dan penarikan balik subsidi.

“Saya percaya ahli Pas juga sama seperti rakyat terbanyak yang lain mengharapkan peralihan kuasa politik dan sudah tentu ahli Pas boleh berfikir bahawa mengundi Pas dengan menyasarkan kemenangan 40 kerusi tidak mengubah kuasa politik negara, sebaliknya mengekalkan UMNO dan BN kekal berkuasa,” kata Mahfuz. – MalaysiaGazette