Peguambela, Mohd Nasir (kanan) bersama rakannya, peguam Azam Rashid.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini membenarkan rayuan 348 peserta Felcra Bukit Tandak di Rantau Panjang, Kelantan untuk menghidupkan kembali writ saman yang dibatalkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Putrajaya dengan kos RM30,000.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan membuat keputusan itu selepas meneliti rayuan yang dikemukakan peguam peneroka berkenaan, Mohd Nasir Abdullah dan Azam Rashid.

Dengan itu, kerajaan negeri diarah serta merta menghentikan penebangan pokok getah di kawasan seluas 689 hektar itu, yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu sehingga menjejaskan sumber rezeki peserta Felcra berkenaan.

Semua 348 peserta itu telah dipilih untuk berada dalam tanah pemulihan KRBT Bukit Tandak sejak 30 tahun lalu.

Ketika berada dalam KRBT berkenaan, semua mereka telah diberi pegangan keluasan tanah seluas enam ekar tiap seorang.

Bagaimanapun, pegangan enam ekar itu telah dikecilkan kepada tiga ekar tiap seorang pada tahun 2014.

Nasib malang mereka itu mendapat perhatian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang menyediakan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang, tetapi ditolak oleh mahkamah.

Pada masa sama, kerajaan Pas Kelantan telah mengeluarkan tender untuk menebang pokok getah di tanah pemulihan itu tanpa pengetahuan peserta.

Putra menerusi peguam Mohd Nasir membela nasib 348 peserta Felda Bukit Tandak itu tanpa penat lelah sehingga membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Rentetan daripada pengeluaran tender tersebut, peserta Felcra Bukit Tandak itu sekali lagi memfailkan writ saman berhubung isu pemilikan pokok getah untuk diputuskan oleh mahkamah.

Kemudian, pihak kerajaan negeri telah memfailkan permohonan interlokutori untuk membatalkan saman peserta berkenaan.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu setelah mendengar, telah membenarkan permohonan kerajaan negeri dan saman tersebut dibatalkan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, 348 peserta telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan sekali lagi telah ditolak.

Sebaik sahaja memperolehi keputusan Mahkamah Rayuan, peserta telah mengarahkan peguam mereka untuk memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Panel Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan peguam dan membenarkan permohonan tersebut serta rayuan telah ditetapkan hari ini.

Ketika pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, panel hakim mendapati wujud isu yang perlu dibicarakan dan seterusnya membenarkan rayuan secara sebulat suara.

Oleh itu, kes berkenaan akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk perbicaraan penuh bagi tujuan memanggil saksi untuk memberi keterangan berkaitan dengan kependudukan penempatan dan penanaman pokok getah di tanah tersebut. – MalaysiaGazette