Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu.

Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO didakwa menyebarkan berita palsu tentang kemasukan warga India menyebar virus Covid-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin dua tahun lalu.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak memutuskan untuk tidak memanggil Lokman membela diri atas dua pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Pada 1 Oktober 2021, Lokman didakwa dengan niat menyebabkan kerisauan orang awam, menyebarkan berita tidak benar menggunakan perkhidmatan aplikasi FB menggunakan profil ‘Lokman Adam’.

Lokman mendakwa warga India memasuki negara menerusi penerbangan dari Bangalore, India sebagai penyebab penyebaran virus Covid-19.

Pemimpin UMNO itu juga mendakwa seorang Pegawai Polis, Asisten Komisioner (ACP) Shahriman yang merupakan Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia di Pahang telah meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette