KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 September bagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukan pembelaan berhubung saman serangan seksual oleh Muhammed Yusoff Rawther.

Media melaporkan peguam mewakili bekas penyelidik Anwar, Mahajoth Singh berkata, mahkamah juga telah menetapkan 29 Oktober bagi pengurusan kes.

Dalam pada itu, peguam bela Anwar,  Ranjit Singh yang mengesahkan perkara itu berkata, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak agar memfailkan sebarang permohonan interlokutari sebelum 29 Oktober ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut.

Dakwa Muhammed Yusoff, beliau diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun tokoh Mahatma Gandhi yang ke-150, anjuran kedutaan India, kepada defendan.

Plaintif mendakwa, sebaik tiba di kediaman itu, defendan mengarahkannya untuk masuk ke dalam rumah bagi berbincang secara lanjut mengenai teks ucapan berkenaan.

“Ketika berada di dalam bilik perpustakaan, Muhammed Yusoff cuba menyerahkan teks ucapan namun beliau tidak mengambilnya, sebaliknya, defendan menghampiri plaintif dan melakukan tindakan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya.

“Plaintif kemudian menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan berkenaan,” katanya.

Plaintif mendakwa sejak serangan seksual itu, tiada sebarang komunikasi antara beliau dan defendan serta masih bekerja dengan Anwar sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman.

Beliau turut mendakwa diserang oleh Setiausaha Politik Defendan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada jam 10 pagi 16 Mei 2019 yang menyebabkan beliau menerima rawatan perubatan.

“Selepas kejadian itu, plaintif meletakkan jawatan di Yayasan Aman pada 24 Jun 2019. Plaintif kemudian membuat satu laporan polis terhadap defendan pada 7 Disember 2019,” katanya.

Akibat tindakan itu, plaintif mendakwa beliau mengalami penderitaan antaranya gangguan fizikal, trauma serius, pencabulan kehormatan dan kehilangan reputasi.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan melakukan perlakuan serangan seksual dan plaintif berhak mendapatkan perlindungan.

Plaintif turut menuntut ganti rugi khas sebanyak RM180 bagi setiap sesi terapi, teladan dan teruk serta sebarang relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah. -MalaysiaGazette