Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat Pembinaan Ricoler Sdn. Bhd. akan dikenakan tindakan kerana mengabaikan 93 pekerja dari Bangladesh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam satu kenyataan bersama mengesahkan syarikat terbabit gagal menyediakan pekerjaan, penginapan dan makanan kepada pekerja berkenaan.

Katanya, KDN telah melaksanakan operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Putrajaya yang turut disertai pegawai Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti-Pemerdagangan Orang (NSO MAPO).

Manakala Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia juga telah melaksanakan siasatan ke atas majikan melibatkan undang-undang perburuhan.

Tindakan terhadap syarikat terbabit diambil di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] kerana gagal menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja.

Tindakan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265] kerana gagal membayar gaji kepada pekerja.

Syarikat terbabit dimasukkan dalam senarai hitam daripada menggajikan pekerja asing pada masa hadapan serta membekukan baki kuota yang diperolehi syarikat yang terbabit.

Siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 [Akta 670] juga dilakukan terhadap syarikat tersebut.

Selain itu syarikat berkenaan juga dikenakan tindakan Akta Pasport 1966 [Akta 150] kerana memegang pasport pekerja.

“KDN dan KSM juga memberi amaran tegas kepada semua majikan yang menggajikan pekerja asing agar sentiasa menjaga kebajikan pekerja serta mematuhi lunas perundangan negara,” katanya.

Sementara itu, semua mangsa yang diselamatkan dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk urusan dokumentasi sebelum dibawa ke hadapan Majistret untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 100 warga Bangladesh tidak mempunyai pekerjaan sejak tiba di Malaysia pada November.

Pekerja terbabit mendakwa, membayar yuran pengambilan antara RM19,500 hingga RM21,700 bagi mendapatkan pekerjaan di negara ini dengan dijanjikan kemudahan asas baik dan dibayar gaji tinggi.

Laporan itu juga menyebut, pekerja terbabit tinggal dalam keadaan sempit dengan hanya satu tandas dikongsi lebih 100 pekerja.

Mereka mendapat makanan ala kadar kebiasaannya nasi, kacang dal, dan kentang putar dengan seorang pekerja mendakwa tidak diberi makan hingga empat hari apabila bertanya mengenai perkembangan pekerjaan mereka.- MalaysiaGazette