Penduduk, Norhasnah Hasan kelihatan sedih melihat barangan keperluan pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Sifatnya yang agak ceria dan peramah walaupun baru pertama kali bertemu langsung tidak menggambarkan apa masalah yang dilalui selama ini.

Namun siapa tahu ibu muda ini pernah menempuh detik-detik sukar apabila terpaksa mencatu makanan bagi mengelak lima anak kelaparan akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Norhasnah Ahmad, 33, berkata, insiden itu berlaku pada hari pertama dan kedua PKP selepas dia terputus bekalan barang basah untuk dijadikan menu harian.

Jelas suri rumah itu, dia akhirnya mengambil keputusan hanya menyediakan menu nasi goreng selama dua hari itu.

Norhasnah Ahmad memeriksan barangan keperluan pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

“Mula-mula PKP memang terputus sekejap bekalan makanan. Cuma ada beras dan saya hanya masak nasi goreng yang dicampur telur dan garam.

“Tetapi alhamdulillah selepas itu kadang-kadang ada yang memberi sumbangan secara tiba-tiba melalui orang tengah.

“Ramadan ini pun juadah berbuka puasa selalunya saya masak nasi goreng juga. Ini kerana ia menjimatkan dan cuma kadang-kadang satu papan telur satu hari boleh habis kerana anak-anak sedang membesar,” katanya.

Wartawan Kanan Malaysia Gazette, Radzuan Hassan (kanan) bersama Penasihat Yayasan Aminah, Datuk Seri Izwan Shah Arif Shah (kiri) menyampaikan bantuan makanan asas kepada penduduk, Norhasnah Ahmad pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

Norhasnah yang berasal Jelebu, Negeri Sembilan itu ditemui kepada Program Ziarah Ramadan MalaysiaGazette di kediamannya di PPR Desa Tun Razak baru-baru ini.

Dia memiliki empat anak lelaki dan seorang anak perempuan yang berusia antara tiga tahun hingga 14 tahun.

Suaminya pula hanya bekerja sebagai pendawaian elektrik dan hanya bergantung kerja harian untuk menyara keluarga.

Norhasnah menambah mereka sekeluarga tidak pernah memilih menu makanan seperti daging ayam yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Norhasnah Ahmad bercakap pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

Apatah lagi pendapatan suami yang tidak menentu sekitar RM1,000 sebulan selain perlu membayar sewa rumah sebanyak RM124.

“Buat masa ini, saya tidak mendapat mana-mana bantuan. Saya baru mohon dengan Baitulmal namun ada dokumen yang perlu dilengkapkan kerana melibatkan permohonan bantuan sewa rumah sekali.

“Pernah bekalan air kena potong tahun lalu gara-gara terputus wang kerana suami ditimpa kemalangan dan kami tiada punca pendapatan,” katanya.

Menutup perbualan, Norhasnah mengakui tiada sambutan Aidilfitri tahun ini oleh keluarganya seperti yang dilalui tahun-tahun sebelum ini- MalaysiaGazette

Norhasnah Ahmad mengemas pakaian pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020