LUMUT – Polis membongkar sebuah makmal dadah yang beroperasi di sebuah kolam udang di Kampung Deralik, Sitiawan di sini Isnin lepas dan menahan tiga lelaki serta merampas dadah bernilai RM15 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata ketua sindiket itu dan dua lagi suspek berusia antara 40 hingga 60 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan bermula 2 petang sehingga 9 malam.

“Polis merampas pelbagai bahan disyaki dadah dengan anggaran berat keseluruhan 183 kilogram (kg) iaitu 185,400 biji pil esktasi, 91.8 kg serbuk dadah, 30.68 kg cecair dadah dan lima kg ketulan methamphetamine yang boleh digunakan 37,622 penagih tegar dan peralatan untuk memproses dadah serta bahan kimia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wang tunai dan dua kereta dianggarkan bernilai RM28,000 turut disita dalam serbuan yang dijalankan hasil risikan selama tiga bulan.

Menurutnya, polis sedang mengesan pembekal dan pengedar dadah untuk sindiket berkenaan yang dipercayai membekalkan dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara selain disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.

Mohd Khalil berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dengan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam untuk tindakan lanjut menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA