Antara nombor pendaftaran khas pada sidang media Pembidaan Nombor Pendaftaran Khas Kereta (Siri Malaysia) di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Nombor plat istimewa siri MALAYSIA 1 mencipta sejarah dalam negara apabila berjaya dibida paling tinggi dengan nilai RM1.11 juta.

Menter Pengangkutan, Anthony Loke berkata, nombor pendaftaran yang dibuka kepada orang awam bermula 1 hingga 15 Ogos lalu, dibida oleh sebuah syarikat, Aldi International Sdn. Bhd.

Beliau berkata, syarikat tersebut turut berjaya membida nombor pendaftaran istimewa siri MALAYSIA 2 bernilai RM422,000 dan MALAYSIA 4 bernilai RM142,000.

Jelasnya, nombor pendaftaran istimewa yang paling tinggi sebelum ini adalah siri V1 bernilai RM989,000.

“Hasil kutipan tender nombor pendaftaran istimewa MALAYSIA 1 hingga 9999 berjumlah RM13.1 juta dan akan dimasukkan terus ke dalam akaun kerajaan dan bukan mana-mana tabung.

“Ini membuktikan langkah kerajaan menghentikan tawaran nombor pendaftaran istimewa kepada badan bukan kerajaan yang diamalkan sebelum ini adalah tepat dan dapat menambah hasil kerajaan.

“Kerajaan dianggarkan rugi lebih RM100 juta sebelum ini disebabkan ketirisan nombor pendaftaran istimewa di bawah kerajaan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Nombor pendaftaran istimewa siri MALAYSIA 1 hingga 9999 dibuka sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Anthony turut memberitahu, nombor pendaftaran MALAYSIA 2020 telah dikecualikan daripada siri tender kerana dikhas kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas beliau, pihaknya difahamkan Mahathir telah bersetuju dan nombor pendaftaran tersebut akan diletakkan pada kenderaan rasmi beliau.

“Nombor pendaftaran itu tidak dibuka daripada awal dan memang dikhas kepada Perdana Menteri secara percuma.

“Kami berharap Mahathir akan membawa kenderaan rasmi dengan nombor pendaftaran MALAYSIA 2020 pada sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony menambah, kementerian sedia menambah siri tender nombor pendaftaran istimewa lebih kerap pada masa akan datang.

Katanya, ini kerana terdapat minat yang tinggi dalam kalangan pembida kaya.

“Ramai orang kaya yang gemar membeli nombor pendaftaran istimewa dan ia mampu menjana hasil kepada kerajaan.

“Jadi kementerian merancang untuk menambah siri tender nombor pendaftaran istimewa ini lebih kerap pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette