Shahril Sufian Hamdan

SHAH ALAM – Portal atas talian Malaysiakini lebih teruk dari segi kesahihan maklumatnya, berbanding akhbar Utusan Malaysia yang didakwa sesetengah pihak sebagai alat propaganda kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau kecewa dengan sikap segelintir pihak dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah gembira dengan penutupan Utusan Melayu (M) Berhad pada minggu lalu.

Tegas beliau, setiap daripada pemimpin harus ikhlas, bukan bersorak gembira dengan penutupan syariakt akhbar itu.

“Jangan pula kita suka (gembira) dengan penutupan akhbar ini. Utusan Melayu adalah suara orang Melayu.

“Jika dibandingkan dengan Malaysiakini, portal atas talian ini lagi teruk dalam menyiarkan maklumat kepada rakyat,” katanya pada sesi Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit, di sebuah resort di sini, hari ini.

Ahli panel lain dalam forum itu ialah Penasihat Media Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk A. Kadir Jasin; Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Penasihat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar.

Shahril Sufian menegur Khalid yang menyatakan penutupan syarikat Utusan Melayu disebabkan menjadi alat propaganda kerajaan terdahulu.

Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar berucap pada forum berjudul Kelangsungan Media Cetak ‘Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit’ di Resort dan Pusat Konvensyen Intekma, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 OKTOBER 2019

Khalid ketika sesinya memberitahu, akhbar Utusan Melayu ditutup bukan kerana orang ramai tidak minat membaca, sebaliknya menjadi propaganda kerajaan BN ketika itu untuk menyerang pembangkang.

Sedangkan, katanya, media cetak boleh terus hidup kalau pengisiannya berbentuk bebas, tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan benar-benar menjadi suara rakyat.

“Ini tidak berlaku kepada akhbar Utusan Malaysia yang berterusan menyiarkan berita berat sebelah sehingga akhirnya ia ‘mati’ dan tidak lagi beroperasi sejak lebih seminggu lalu.

“Ketika ini media cetak bersaing dengan media digital, tetapi memandangkan rakyat mempunyai pilihan untuk mendapatkan berita seimbang, mereka memilih untuk mendapatkan maklumat melalui media digital.

“Walaupun kita tidak tahu sejauhmana teknologi media digital ini boleh bertahan, tetapi nampak jelas, media cetak makin dipinggir dan dilupakan,” kata Khalid.

Menurut beliau, orang ramai tidak boleh memandang remeh media cetak negara ini kerana peranannya terlalu besar, terutama dapat menyelamatkan sesebuah kerajaan dari fitnah laporan berita yang disiarkan menerusi media digital.

Katanya, apabila media digital berleluasa, kerajaan PH berkongsepkan Malaysia Baharu berdepan pula dengan fenomena berita palsu.

“Jadi, yang boleh melawan berita palsu ini ialah media cetak, kerana setiap maklumat yang hendak disiarkan akan melalui tapisan ketat oleh bahagian pengarang.

“Kesimpulan saya, kerajaan lama (BN) jatuh kerana berleluasanya era digital dan kerajaan baharu (PH) bangkit disebabkan media digital,” katanya. – MalaysiaGazette