Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Rundingan antara Kesatuan Kebangsaan Kru Penerbangan dan Anak-Anak Kapal Malaysia (NUFAM) dan Malindo Air berjaya menyerap semula 50 orang kru kabin wanita yang diberhentikan oleh syarikat penerbnagan itu pada bulan April lalu akibat Covid-19.

Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin berkata, pihaknya telah mengusulkan syarikat penerbangan itu untuk mempertimbangkan semula pembatalan pemberhentian pekerja-pekerja terbabit.

Malindo Air juga diminta untuk menyelesaikan semua gaji dan elaun penerbangan yang belum dibayar kepada kru kabin sejak awal Februari.

”NUFAM gembira kerana syarikat penerbangan telah bersetuju dengan cadangan kami dan kami berterima kasih kepada Malindo,” katanya.

Ismail berkata, NUFAM memahami kesan ketara Covid-19 terhadap perniagaan syarikat penerbangan sejak beberapa bulan lalu tetapi kesatuan juga percaya syarikat penerbangan tidak boleh mengambil jalan keluar paling mudah untuk memberhentikan pekerja mereka dalam tempoh mencabar ini.

”Kami selalu percaya ada cara lain syarikat penerbangan boleh mengurangkan kos mereka dengan mengurangkan kerugian kepada pekerja jika mereka melakukannya dengan betul bersama-sama bantuan jabatan IR dan kesatuan.

“Dan hari ini, Malindo dan pekerja telah mencapai ‘win-win situation’,” tambahnya sambil menyifatkan penyelesaian ini melegakan semua pihak.

Ismail berkata, Malindo juga memberi beberapa syarat kelonggaran untuk kru kabin melakukan pekerjaan sambilan yang merupakan salah satu langkah baik untuk membantu kelangsungan kehidupan mereka kerana kehilangan elaun terbang selama penularan wabak koronavirus.

”Kehilangan gaji pokok dan elaun penerbangan telah menjejaskan kru kabin di Malaysia sejak penutupan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada bulan Mac,” katanya. – MalaysiaGazette