Thiago Alcantara

LONDON – Thiago Alcantara terus bermain teka teki melibatkan karier bola sepaknya di Bayern Munich selepas mula dikaitkan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak akhir-akhir ini.

Pemain itu sekadar melemparkan senyuman tanpa berterus terang mengenai statusnya di kelab Bundesliga menjelang musim depan yang akan membuka tirai dalam seminggu dua lagi.

Bintang Bayern Munich itu hampir pasti akan meninggalkan Allianz Arena musim ini.

Semalam dia beraksi bersama rakan senegaranya dari Liverpool Luis Enrique menyaksikan Sepanyol bangkit dari ketinggalan satu gol sebelum mengikat keputusan seri menentang Jerman dalam perlawanan Liga Kebangsaan.

Thiago telah memaklumkan Bayern Munich bahawa dia akan meninggalkan kelab itu dan tidak akan menyambung kontrak di Allianz Arena yang akan tamat musim depan.

Ketika ini Liverpool mendahului kelab lain untuk mengikat khidmat pemain berkaliber berusia 29 tahun itu apabila Thiago dikatakan sudah berbincang dengan Jurgen Klopp untuk berhijrah ke Anfield.

Bagaimanapun the Reds tidak dapat memenuhi tuntutan yuran £27 juta daripada Bayern untuk pemain itu sekaligus membuka ruang kepada musuh tradisinya Manchester United.

Bagaimanapun, Thiago menegaskan dia fokus terhadap aksi berdepan Ukraine.

“Munich adalah kediaman saya dan buat masa ini hanya memikirkan mengenai aksi menentang Ukraine. Kita tunggu lihat perkembangan selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun wartawan terus mengasak untuk mendapatkan jawapannya mengenai spekulasi mengaitkan pemain itu dengan dua kelab elit England iaitu Red Devils dan Liverpool.

Thiago tanpa menjawab pertanyaan wartawan sekadar melemparkan senyuman dengan membalas:”ciao (selamat tinggal)”

Walaupun dia kelihatan gembira bersama Bayern, dia hampir pasti akan meninggalkan kelab Bundesliga itu kali ini.

Klopp perlu menjual salah seorang pemainnya Wijnaldum yang belum menandatangani sebarang kontrak bersama Liverpool sebelum membolehkan pembelian Thiago.

Wijnaldum menjadi sasaran Barcelona dengan perbelanjaan dana £27 juta iaitu jumlah sama yang diperlukan the Kops untuk membeli Thiago.-MalaysiaGazette