Bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman menujukkan salinan manifesto DAP dan Pakatan Harapan kepada media di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MEI 2018
Bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman menujukkan salinan manifesto DAP dan Pakatan Harapan kepada media di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kamarulazman Habibur Rahman mendakwa manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan pada Mac yang lalu adalah manifesto  DAP. 

Tampil mengemukakan bukti Kamarulazman berkata, dokumen bercetak yang diterimanya daripada seorang individu mendapati ia tidak mempunyai perbezaan dengan manifesto yang dibentangkan oleh gabungan tersebut.

“Apabila saya mendapat dokumen ini saya meneliti dan mendapati bahawa dokumen ini sama sahaja yang telah dikeluarkan oleh Pakatan Harapan.

“Jadi kedua-duanya ada persamaan yang begitu ketara sehingga menyebabkan saya tertanya adakah manifesto Pakatan Harapan ini sebenarnya adalah manifesto DAP,” katanya ketika sidang media sebentar tadi. 

Kamarulazman semakin musykil apabila Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan ragu-ragu apabila diminta mengulas mengenai janji-janji parti itu khususnya berkenaan cadangan untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmagan (GST). 

Sehubungan itu beliau mempertikaikan peranan semua parti dalam parti itu dibandingkan DAP yang lebih dominan sehingga menjadi penghasil kepada manifesto gabungan pembangkang tersebut.

Beliau turut menyifatkan situasi tersebut sebagai bukti jelas bahawa Tun M hanya diperkudakan oleh DAP walaupun memegang jawatan Pengerusi  dalam Pakatan Harapan. 

“DAP merupakan kuasa yang paking besar dalam Pakatan Harapan. 

“Tun dipermain-mainkan, diperalatkan untuk kepentingan DAP. Ini jelas menunjukkan siapa sebenarnya DAP dalam Pakatan Harapan.

“Adakah peranan Tun M merupakan satu peranan penting sebagai pengerusi atau ia menjadi alat untuk menentukan bahawa segala apa yang direncanakan DAP akan tercapai dan Tun M akan diperkudakan oleh DAP,” ujarnya. 

Justeru beliau menggesa Tun M dan DAP tampil menjelaskan atau menafikan perkara tersebut yang padanya bakal mengundang tanda tanya dalam kalangan rakyat khususnya pengundi Melayu. 

“Rakyat terutamanya Melayu perlu berfikir dalam beberapa hari ini adalah ini yang mereka kehendaki.

“Maka saya perkatakan ini tidak benar, maka saya berharap pihak yang terkesan yang saya katakan hendaklah tampil menafikan sedangkan saya mempunyai bukti iaitu ini manifesto DAP yang digunakan oleh Pakatan Harapan,” jelas beliau.

Terdahulu kepimpinan Pakatan Harapan mendakwa manifesto mereka adalah hasil perbincangan daripada semua komponen parti. – MalaysiaGazette