Alexander Nanta Linggi (dua kanan) melawat salah sebuah gerai pada majlis perasmian Kompleks Industri Makanan Mara di Batu Caves, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 19 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Kompleks Industri Makanan MARA (Kimar) akan dibina di setiap negeri dalam usaha memperkasakan pengusaha dan makanan dalam kalangan Bumiputera.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kos pembinaan setiap satu bergantung kepada saiz dan keupayaan perkakasan yang disediakan dalam kompleks berkenaan.

Menurut beliau, usaha memperkasakan usahawan makanan dalam kalangan oleh MARA merupakan satu pendekatan keterangkuman program keusahawan dengan menyediakan pelbagai platform bagi mereka yang mahu memajukan perniagaan seperti latihan, kursus, khidmat nasihat yang berterusan.

Ia akan disokong dengan penyediaan fasiliti perniagaan, premis, lot perniagaan, kilang industri dan inkubator teknologi makanan.

“Fokus utamanya adalah menggalakkan usahawan untuk menceburi pasaran halal global bernilai RM7.4 trilion setahun.

“Daripada jumlah itu, nilai eksport produk halal dari Malaysia mencecah RM37.7 bilion,” katanya ketika merasmikan Kimar di Batu Caves di sini.

Setakat ini, MARA telah membangunkan industri halal melalui kompleks sebagai Taman Halal di Tambun (Perak),  Pengkalan Chepa (Kelantan), Kuala Perlis (Perlis), Demak Laut (Sarawak) dan Taman Pengeluar Usahawan (TPPU) di Pedas (Negeri Sembilan).

Kimar di Batu Caves menyediakan 19 lot kilang, yang kesemuanya memenuhi piawaian Amalan Pengilang Baik (GMP).

MARA turut menyediakan kemudahan pembiayaan dan peralatan bagi setiap usahawan di Kimar bagi membolehkan usahawan mengeluarkan produk bermutu tinggi yang mencapai piawaian antarabangsa.

Alexander menambah, bagi merancakkan penjualan produk usahawan MARA, Kimar Factory Outley juga diwujudkan sebagai platform produk-produk usahawan.

Malah, program Online e-marketplace yang dikenali sebagai Amaxmall turut dibangunkan sebagai salah satu alternatif promosi dan urus niaga secara atas talian. – MalaysiaGazette