Mark Zuckerberg. foto CBC

WASHINGTON – Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berhasrat untuk memberi penjelasan kepada Kongres Amerika Syarikat (AS) selepas pengasas sosial media itu terpaksa mengalah kepada desakan pembuat-pembuat dasar yang mahukan beliau memberi penjelasan bagaimana data 50 juta pengguna boleh terlepas ke tangan firma perunding politik.

Pembuat-pembuat dasar di AS dan Eropah meminta syarikat tersebut mendedahkan amalan kerahsiaan Facebook selepas berlakunya pendedahan yang mengatakan firma perunding Cambridge Analytica telah mengakses data secara tidak sah dengan mensasarkan pengundi-pengundi pilihan raya AS dan Britain.

Facebook pada Selasa berkata, syarikat tersebut telah menerima jemputan untuk memberi keterangan kepada Kongres dan mereka sedang mengadakan perbincangan dengan pembuat dasar.

Pada hari yang sama, Zuckerberg menolak jemputan ahli parlimen Britain untuk memberi penjelasan kepada jawatankuasa parlimen negara tersebut berhubung isu yang sama.- Agensi