Foto pertemuan pemimpin DAP yang dikongsi Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Parti DAP menekankan keputusan pilihan raya (PRN) di enam negeri sebagai sangat penting dan bakal menentukan masa depan negara.

Pendapat berkenaan dilontarkan dalam pertemuan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dengan pimpinan DAP Selangor yang diketuai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh malam tadi.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong yang turut hadir dalam perbincangan itu berkata, Anthony mengariskan bahawa pemimpin dan penyokong parti itu tidak boleh bersikap sambil lewa dalam PRN.

Parti itu menegaskan setiap satu pilihan raya adalah berbeza daripada sebelumnya, ujar beliau.

“Kita tidak boleh menganggap bahawa kerana kita telah menang dalam pilihan raya sebelumnya, PRN kali ini tentu mudah untuk kita. Jangan berfikir seperti ini.

“Bagi setiap orang yang akan berkempen serta sesiapa sahaja yang akan melaksanakan kerja-kerja sukarela lain amat penting untuk mereka mendapatkan latihan khusus secukupnya.

“Bagi membolehkan mereka melakukan yang terbaik dalam PRN ini, di samping mengurangkan risiko melakukan kesilapan,” katanya.

Di Selangor mesej yang perlu disampaikan DAP kepada pengundi pelbagai kaum di negeri itu adalah meyakinkan mereka bahawa kehidupan warga Selangor akan terus sejahtera.

Malah pengundi di Selangor perlu diyakinkan bahawa kehidupan rakyat di negeri itu akan menjadi lebih baik di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan berbanding dengan lawannya Perikatan Nasional.

Beliau menegaskan, keputusan pilihan raya tidak ditentukan sama ada oleh ahli politik mahupun parti yang terbabit

“Yang menentukan keputusan pilihan raya adalah kempen memujuk dalam kumpulan/komuniti atau digelar sebagai peer-to-peer.

“Memahami persepsi pengundi, dan yang paling penting sekali, menarik sokongan pengundi yang tidak peduli sangat dengan politik,” katanya.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dan Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya DAP Kebangsaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh pilihan raya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Pakatan Harapan yang bergabung dengan Barisan Nasional akan mempertahankan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor yang dikuasai parti tersebut sebelum ini.-MalaysiaGazette