Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Masalah pembekalan air bersih menjadi prioriti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mei 2020.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri tidak pernah memandang remeh isu bekalan air bersih yang membelenggu rakyat di beberapa daerah negeri ini.

Katanya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM1 juta pada tahun 2020 atas daya usaha dan komitmen kepimpinan baharu kerajaan negeri termasuk langkah-langkah pengurangan kos yang dilaksanakan SADA secara intensif.

“Selain itu, pada tahun 2021, SADA merekodkan keuntungan lebih RM30 juta sebelum cukai sekali gus memberi kelegaan kepada mereka untuk melipatgandakan kerja penambahbaikan dan penyelenggaran perkhidmatan di seluruh Kedah.

“Malah, usaha mengurangkan peratusan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water) yang pada masa ini direkodkan sebanyak 49 peratus turut menjadi fokus utama dengan sasaran kadar itu dapat diturunkan sehingga 25 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Bagaimanapun, kos tinggi diperlukan iaitu lebih RM900 juta untuk menukar paip-paip lama di seluruh Kedah untuk mengurangkan NRW tersebut,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin masalah bekalan air terawat di seluruh Kedah akan dapat diatasi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang apabila kesemua Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang dalam pembinaan siap nanti.

“Orang ramai diharapkan dapat bersabar sementara pelbagai usaha sedang giat dijalankan oleh kerajaan dan SADA dengan sedaya upaya yang mungkin untuk membawa keluar rakyat daripada belenggu masalah ini,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette