Gambar hiasan

PUCHONG – Belum sempat menikmati hasil samun ragut, seorang suspek lelaki maut apabila terlibat dalam kemalangan di Puchong.

Dalam kejadian semalam, suspek yang parah itu dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, ketika kejadian pada pukul 6.24 petang, pihaknya menerima maklumat daripada MERS 999 terdapat kejadian ragut di Bandar Puteri dan suspek yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian tersebut, katanya, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun disamun ketika hendak masuk ke dalam kereta apabila didatangi suspek lelaki menunggang motosikal Yamaha dari arah belakang.

“Siastan awal polis mendedahkan suspek telah merentap rantai emas dileher mangsa dan terus melarikan diri.

“Bagaimanapun mangsa yang kemudiannya terserempak dengan suspek di Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri yang melawan arus dan berhenti di tengah jalan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat membrek terus terlanggar motosikal suspek.

“Perlanggaran itu menyebabkan suspek terjatuh dan terperosok di bawah kereta dan telah mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek yang parah telah dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum pada 7.52 malam suspek disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, proses bedah siasat terhadap mayat dijalankan hari ini.

“Barang kes iaitu rantai yang diragut berjaya ditemui semula daripada suspek dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau sebanyak tiga kes melibatkan dadah, dua kes samun dan 1 Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Mangsa sejurus kejadian telah membuat aduan polis dan juga menghubungi ambulan untuk meminta bantuan akibat kemalangan.

“Siasatan lanjut kes diteruskan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.-MalaysiaGazette