Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mensasarkan seramai 4,500 remaja dari seluruh negara menyertai program Karnival Sukan Remaja Terbuka Petaling Jaya 2019 yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 April ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Johary Anuar berkata, sebanyak lapan acara dipertandingkan sepanjang karnival selama tiga hari itu.

Antaranya perlawanan yang dipertandingkan ialah bola sepak, bola jaring, acara olahraga, sepak takraw, futsal, badminton, hoki dan tenis, katanya.

“Selaku penganjur, kami sentiasa berusaha untuk membantu meningkatkan pembangunan sukan remaja bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam pelbagai acara sukan, selain meningkatkan jati diri dan keyakinan dalam diri remaja.

“Selain itu, kejohanan seperti ini dapat membantu mengenal pasti keberkesanan program yang dianjurkan MBPJ untuk melahirkan pelapis jaguh atlet pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, karnival sukan yang memasuki tahun kedua itu turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM200,000.

Mengulas lanjut Johary berkata, penyertaan bagi karnival itu dibuka kepada remaja bawah 18 tahun termasuk sekolah dan kelab sukan di sekitar Petaling Jaya.

“Kesemua kejohanan ini menggabungkan semua kejohanan remaja yang selama ini dijalankan secara berasingan oleh MBPJ.

“Usaha ini adalah untuk mengukuhkan lagi perpaduan serta silaturrahim antara kaum dalam kalangan belia,” ujarnya.

Sebarang maklumat lanjut berhubung karnival itu boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Sukan dan Kemudahan Am, Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ di talian 03-79561216 / 1219 / 1220 atau layari www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial Majlis (Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter & Instagram: &pjcitycouncil). – MalaysiaGazette